Pilihan Raya Kampus telah diadakan pada 27 Januari 2026 anjuran Sekretariat Pilihan Raya Kampus IPGKI. Proses pengundian dilaksanakan secara penggiliran mengikut jadual yang ditetapkan melibatkan Unit A, Unit B, Unit C dan Unit Y. Manakala pelajar Unit X serta Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) telah melaksanakan pengundian secara dalam talian berikutan sedang menjalani praktikum dan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di sekolah masing-masing. Dewan mengundi dibuka pada jam 8.00 pagi dan ditutup pada jam 1.00 tengah hari dalam suasana yang teratur dan kondusif.
Majlis Pengumuman Keputusan Rasmi Pilihan Raya Kampus telah diadakan pada sebelah petang dan diumumkan oleh YBrs Dr. Hamidah binti Samsuddin, Pengarah IPGKI. Turut hadir sebagai tetamu VIP ialah Dr. Murniza binti Muhamad, Timbalan Pengarah; Dr. Abdul Razak bin Noruzzaman, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar; serta Ahli Majlis Profesional Pengurusan dan Pentadbiran IPGKI. Seramai 27 orang calon yang memperoleh undian tertinggi bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ahli Majlis Mesyuarat (AMM) telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) bagi sesi 2026/2027.
Pelaksanaan pilihan raya ini mencerminkan amalan demokrasi kampus yang telus dan berintegriti serta menjadi platform penting dalam melahirkan kepimpinan siswa guru yang berwibawa dan berdaya saing.






























