IPG Kampus Ipoh telah menganjurkan Bengkel Asas Permainan Hoki dengan kerjasama Akademi Hoki AHF Raja Ashman Shah pada 06 hingga 08 Februari 2026. Bengkel ini melibatkan seramai 24 orang pelajar Major Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJK) sebagai usaha memperkukuh kemahiran asas serta metodologi pengajaran permainan hoki dalam kalangan bakal guru.
Program selama tiga hari ini memberi penekanan kepada aspek teori dan praktikal. Hari pertama dimulakan dengan sesi pendaftaran dan pengenalan program, diikuti slot Fundamental of Hockey yang membincangkan asas permainan, peraturan, posisi pemain serta teknik pegangan kayu hoki yang betul.
Pada hari kedua, peserta mengikuti sesi Methodology of Hockey yang memfokuskan pendekatan dan kaedah pengajaran hoki secara sistematik dan berkesan di sekolah. Sebelah petang diteruskan dengan sesi praktikal di stadium bagi mengaplikasikan teknik asas seperti hantaran, menerima bola dan kawalan bola. Pada waktu malam, peserta didedahkan dengan Basic Technical in Hockey yang memperincikan kemahiran teknikal serta strategi asas permainan.
Hari ketiga menyaksikan sesi praktikal lanjutan di stadium dan aktiviti mini game bagi menguji kefahaman serta penguasaan kemahiran yang telah dipelajari. Program diakhiri dengan majlis penutup sebagai simbolik penghargaan kepada semua peserta dan penganjur.
Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan pelajar dalam mengendalikan pengajaran hoki secara profesional, selaras dengan keperluan kurikulum Pendidikan Jasmani di sekolah. Diharapkan kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan guru yang kompeten dan berkemahiran tinggi dalam bidang sukan.













Tiada ulasan:
Catat Ulasan